BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 14 Ogos 2009

Takziah buat Keluarga Allahyarham Ustaz Asri

Asri Rabbani meninggal dunia

Utusan online

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani, Mohd. Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia kira-kira pukul 11.45 pagi selepas tidak sedarkan diri di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri hari ini.

Allahyarham bersama kumpulannya sepatutnya menyanyikan lagu tema sempena pelancaran program Syahadah musim kelima terbitan RTM.

Allahyarham yang mesra dipanggil Ustaz Asri rebah kira-kira pukul 10 pagi ketika membuat latihan nyanyian lagu tema tersebut bersama anggota Rabbani lalu dikejarkan ke Hospital Pantai, Bangsar sebelum disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Allahyarham dikebumikan malam tadi selepas Maghrib di tanah perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, Selangor.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham dibawa ke rumah ibunya, Rubiah Ehsan, 70-an di Jalan Ikan Kelisa, Kampung Bukit Lanchong untuk disembahyangkan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Haliza Shahadan, 38, serta enam anak iaitu Mohd. Nasimudin, 15; Mohd. Fathi, 14; Nur Afikah, 12; Mohd. Ilham, 10; Sufiyah Munawarh, 6 dan Hamdi Rabbani, 4.

Menurut isterinya yang juga dikenali sebagai Noor Janah, dia dan anak-anak serta keluarga reda dengan pemergian Allahyarham meskipun berat di hati menerima takdir tersebut.

Menceritakan detik-detik sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, Noor Janah berkata, malam tadi, Allahyarham mengajaknya makan malam berdua di luar.

''Allahyarham menyuruh saya memesan apa sahaja makanan yang saya mahu. Pulang sahaja ke rumah, kami terus menonton televisyen berdua.

''Pagi ini, dia mengadu pening kepala dan badannya berpeluh-peluh. Tetapi, dia gagahkan juga ke pejabat.

''Sebelum dia ke RTM untuk rakaman program Syahadah, saya sempat melihat wajahnya, salam dan cium tangannya. Cuma saya tidak sempat untuk memeluknya dengan erat seperti kebiasaan,'' katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam.

Haliza memberitahu, soal dirinya dan anak-anak selepas ini, dia bersyukur kerana semuanya telah terlatih untuk hidup berdikari.

''Allahyarham banyak menghabiskan masa dengan aktiviti dakwah dan nasyid.

''Tahun ini, dua anak kami akan menjalani peperiksaan penting iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Insya-Allah kami akan tabah jalani hidup selepas ini," jelasnya.

Sementara itu, seorang anggota Rabbani, Mohd. Asri Ubaidullah ketika ditemui memberitahu, sebelum memulakan latihan, Allahyarham batuk dan wajahnya pucat.

''Bagi meredakan batuk, Allahyarham sempat minum air limau dan madu. Bagaimanapun, Allahyarham muntah-muntah sebelum bertolak ke Angkasapuri.

''Walaupun kurang sihat, Allahyarham tetap mahu meneruskan latihan,'' katanya ketika ditemui di Hospital Pantai.

Selain anggota Rabbani, pekarangan Hospital Pantai dipenuhi hampir 100 kenalan dan keluarga terdekat Allahyarham termasuk Nash, Yasin Sulaiman, Amy Search, Mas Omar, Nazrey Johani, Ramli MS, Ali Mamak, Hafiz Hamidun, Ina Naim dan suaminya, Suhaimi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya yang ditemui di Hospital Pantai memberitahu, ketika kejadian, dia melihat pelbagai usaha telah dilakukan oleh anggota Rabbani bagi menyelamatkan Allahyarham.

Katanya, biarpun keadaan cemas, pelancaran program Syahadah tetap diteruskan.

''Secara peribadi, saya sifatkan ini sebagai satu kehilangan besar buat industri nasyid kontemporari. Memang sukar mencari bakat sepertinya,'' kata Ibrahim.

Asri yang dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor memulakan penglibatan bersama kumpulan Rabbani pada 1 Mac 1997. Sebelum Rabbani, kumpulan tersebut dikenali sebagai kumpulan Nada Murni.

Selama 12 tahun memperjuangkan irama nasyid, Rabbani telah menghasilkan sebanyak 19 buah album termasuk ARAH (1998), Muhammad Ya Habibi (1999), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000), Iqrar - 1421 (2001), Yalla Beena (2004) dan Nostalgia Nada Murni (2008).

Bersama Rabbani, pelbagai kejayaan diperoleh oleh Allahyarham antaranya memenangi Anugerah Industri Muzik (AIM) 2001 bagi kategori Album Nasyid Terbaik, Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album, Album Terbaik 2001 kesemuanya menerusi album Iqrar - 1421.

Menerusi AIM juga, Rabbani pernah memenangi Album Nasyid Terbaik 2002 (Intifada), Album Nasyid Terbaik 2003 (Qiblat) serta Album Nasyid Terbaik 2009 (Nostalgia Nada Murni) serta Lagu Nasyid terbaik 2009 (Bila Nur Melimpah Di Hati).

Rabbani juga pernah memenangi Artis Nasyid Popular sebanyak lapan kali di Anugerah Bintang Popular (ABP) Berita Harian.

0 ulasan: