Berita kematian Michael Jackson mengejutkan dunia
LOS ANGELES: Michael Jackson, anak kecil yang bertukar menjadi Raja Pop dunia, mencipta tarian musikal yang digilai anak muda, meninggal dunia hari ini ketika berusia 50 tahun.
Namun, sejak meniti akhir hayatnya, bintangnya yang bersinar itu lebih ditutupi dengan gaya hidupnya yang unik serta kontroversi pembabitannya dalam skandal seks dengan kanak-kanak.
Sebaik berita kematiannya dilaporkan pagi ini, laman web terus menjadi buruan peminatnya di seluruh dunia bagi melayari kisahnya sehingga menimbulkan kesesakan.
Michael atau dikenali dengan Jacko, disahakan meinggal dunia jam 2.26 pagi waktu tempatan selepas tiba di Hospital Los Angeles, menurut koroner daerah, Fred Corral.
Bagaimanapun, katanya punca kematiannya belum disahkan lagi tetapi dikaitkan dengan kegagalan jantungnya.
Sebelum ini, media Amerika Syarikat melaporkan bahawa Micheal kini sedang sakit dan dirawat di rumahnya.
Namun sebaik paramedik tiba di rumahnya, malam tadi, beliau dikatakan sudah tidak bernafas sebelum dikejarkan ke hospital.
Dikenali sebagai Raja Pop dengan kemunculan album hit, "Thriller" dan "Billie Jean," Michael dikenali dengan mencipta gaya menari unik menggunakan sarung tangan putih sehingga digilai dan diikuti jutaan peminatnya di seluruh dunia.
Beliau bertanggungjawab mengtranformasikan nyanyian dan tarian ke dalam musik video sehingga jualan albumnya mencecah 750 juta unit dengan menggondol 13 Anugerah Grammy.
Beliau sehingga kini menjadi salah seorang penghibur paling berjaya sepanjang hayat.
Namun, reputasi Michael tercalar selepas dikaitkan dengan minatnya berkawan dan bermesra dengan kanak-kanak sehingga diheret ke mahkamah pada 2005, selain penampilan dirinya yang dikaitkan dengan pembedahan plastik.
Beliau dijadual membuat penampilan semula bulan depan bermula di London.
Quincy Jones, yang pernah membantunya dalam penghasilan album "Thriller" dan "Off the Wall" memberitahu stesen MSNBC: "Saya benar-benar terkejut dan hiba dengan kehilangannya. Ia sesuatu yang trajis dan berita yang tidak disangka-sangka." - Reuters
BERITA HARIAN